Friday, September 18, 2009

1987 - Senior TIKL



Mulai tahun ini aku dikenali sebagi Keringgiee IV, Keringgiee keturunan yang keempat.

Aku tidak lagi tinggal di asrama kerana keadaan aku di sana sangat tidak memberangsangkan jadi tahun ini aku berulang-alik ke sekolah dari rumahku. Keadaan ini aku rasa amat membebankan ibuku tapi apakan daya aku terpaksa berbuat demikian. Prestasi pelajaranku merosot teruk semenjak aku tinggal di asrama dan atas sebab inilah aku memohon untuk keluar dan menjadi salah seorang pelajar yang dikenali sebagai "outsiders". Sekali lagi aku dipilih menjadi penolong ketua kelas tetapi kali ini Sharullail adalah Ketua Kelas 5 Mekanikal 2.

Aku mengambil ko-kurikulum Tae Kwon Do dan pada masa itulah aku mengenali antaranya Zuraida binti Yahaya ( Darteen ), Yim Heng Fatt, Nurul Nazeli, Mazura binti Abdul Majid yang bakal menjadi kenangan dalam kisah hidup aku.

Mazura menjadi sahabatku yang baik yang mana kami selalu berbincang tentang keadaan kehidupan pada masa itu.

(Mazura akhirnya berkahwin dengan Nasir. Kali terakhir aku bertemu dengan mereka ialah pada tahun 2005. Pada masa itu mereka menetap di Kajang. Perubahan jelas terasa kerana pemergian aku ke Amerika mengubah keadaan juga penerimaan manusia terhadap perhubungan.)

(Nurul Nazeli pula berkahwin dengan Hadi. Kali terakhir aku bertemu dengannya dia sudah mempunyai 3 orang anak dan tinggal di Kemensah Heights).

Yang penting sekali, Zuraida, Dia merupakan seorang gadis yang manis, cerah dan berambut lebat ikal mayang. Dia tinggal di Lengkok Abdullah, Jalan Bangsar jadi aku selalu bertemu dengannya ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah memandangkan kami menaiki bas yang sama. Beginilah saat-saat awal aku mengenalinya. Seingat aku, dia akan melewati di hadapan Kota Raya pada pukul 7.00 pagi setiap hari menuju ke Jalan Silang sebelum mendapatkan Bas 123 Tong Foong menuju ke sekolah pada pukul 7.15 pagi.

Setiap pagi aku akan mendapatkan bas 238 pada pukul 6.30 pagi dari Kg Kerinchi untuk ke Kota Raya dan pada kira-kira pukul 6.40 pagi kelibat gadis yang manis ini sudah pasti kelihatan apabila bas tersebut berhenti di Jalan Bangsar berdekatan dengan Lever Brothers. Setiap kali juga hati aku akan berdebar-debar memerhatikan segala gerak-gerinya. Dan setiap kali juga apabila dia perasan aku akan memalingkan mukaku ke tempat lain dengan harapan dia tidak tahu yang aku memerhatikannya.

" Alangkah baiknya kalau sidia menjadi buah hatiku selama-lamanya " getus hatiku mudaku.

Demikianlah hari-hari selepas itu, Aku pasti akan menanti kehadirannya di dalam bas tersebut kemudian mengikutinya dari belakang berjalan menuju ke Jalan Silang. Hampir setiap hari hatiku meronta-ronta untuk berkenalan dengannya tapi aku malu untuk memulakan bicara. Pada mulanya aku hanya sekadar berani melemparkan senyuman apabila kami bertentang mata tapi selalunya hanya sia-sia.

Pada suatu hari entah semena-mena aku dengan nekad bangun lalu menuju kebahagian hadapan perut bas tersebut menghampiri tempat duduk Zuraida. Dengan nekad aku memberanikan diri untuk bersuara.
" Hai, Assalamualaikum... You Zuraida kan ? " tanyaku dengan suara yang terketar- ketar. Lidahku seakan tidak mahu bekerjasama.
" Boleh saya duduk di sini " sambungku bodoh memandangkan terdapat banyak tempat kosong yang ada di dalam bas tersebut.
" Waalaikumussalam.., duduklah apa salahnya.." suara itu adalah suara yang paling merdu yang pernah aku dengar sepanjang hidupku hingga kesaat ini.

Pada hari itu bermulalah perkenalan aku dengan Zuraida. Barulah aku mendapat tahu yang dia dahulunya bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist yang bersebelahan dengan sekolahku dan dia juga menaiki bas Abang Botak tak lama dahulu. Mungkin detik inilah yang memulakan kerjaya aku bergaul dengan kaum hawa.

Kemudian aku mendapat tahu yang keluarga dia berada dalam kesukaran kerana ada orang yang irihati dengan keluarganya apabila pinangan mereka ditolak. Seperti biasa aku bersimpati dan cuba menghulurkan bantuan selagi aku terdaya dari segi moral kerana hanya itulah cara yang dapat aku bantu dan aku tahu.

Aku rasa aku berjaya menjaga Zu dengan baik selama aku berkawan dengannya tetapi tak berapa lama kemudian perhubungan kami dipengaruhi oleh kawan-kawannya yang akhirnya membawa padah. Mungkin pada ketika itu aku terlalu muda untuk memahami seorang insan yang bukan dari jenisku. Lagipun inilah cintaku yang pertama.



Pada masa ini aku selalu menghabiskan masa bersama Che Azam, Wan, juga John. Ini adalah kerana kami mengambil kelas tuisyen yang sama di Jalan Kasturi bersebelahan dengan Central Market. Pada masa yang sama aku berkenalan dengan Noraniza.

28 Ogos 1987. Semenjak perpisahan aku dengan Zuraida keadaan aku menjadi amat sadis. Aku betul-betul kehilangan arah pada ketika itu. Peperiksaan percubaan SPM tinggal 3 minggu lagi. Selama 6 bulan seterusnya terasakan hidup aku berada didalam kegelapan yang amat sangat. Keyakinanku juga hilang entah kemana. Aku seakan tenggelam punca. Banyak perkara aku fikirkan mengenai kehidupan dikala itu. Segala apa yang terlintas dalam fikiran aku akan aku jadikan isu untuk berfikir. Segala apa yang aku pandang akan aku fikirkan. Ada baiknya juga kekecundangan ini. Ia mengajar aku menjadi peka kepada keadaan sekitaran. Aku pada masa itu banyak menghabiskan masa memencilkan diri di dalam bilik. Selera aku juga berkurangan dikala ini begitu juga dengan tidurku. Peperiksaan percubaan berlalu tanpa aku sedari tanpa persediaan yang rapi.

Tinggal 3 minggu lagi sebelum SPM. Pada mulanya aku seakan tidak mahu meneruskan percaturan menghadapi SPM tetapi apabila aku memikirkannya dengan sedalam-dalamnya aku sedar ini adalah keputusan yang bodoh... Kata orang tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Sanggupkah aku gagal dalam pelajaran dan akhirnya hidup merempat mengharap belas kedua orang tuaku? Pastinya tidak.. Aku tak sanggup untuk bekerja keras menghabiskan tenaga kerana sesen dua. Memikirkan keadaan ini maka aku mengambil keputusan untuk menyesali sekarang dan meneruskan cabaran kehidupan.

(Zuraida berkahwin awal selepas ITM dan semasa catatan ini ditulis di tinggal di Putra Mahkota tak jauh dari rumahku dan kami masih lagi berhubung)
Aku mengambil langkah untuk memulakan pengulangkajian secara intensif untuk menghabiskan minggu-minggu yang terakhir ini. Aku hanya menekankan pelajaran BM, English juga Matematik juga dua matapelajaran Sains iaitu Fizik dan Kimia kerana matapelajaran inilah yang bakal dilihat untuk kemasukan ke Institusi pengajian tempatan. Yang lainnya aku buat tak tau je.. sekadar nak melepaskan diri semata-mata. Pada masa itu semua masa yang terluang akan aku gunakan untuk belajar tak kira di mana... sekolah, rumah, siswarama, Pusat Islam, taman bunga... pendek kata kalau aku ada masa terluang pasti bukulah yang akan aku buka dan baca kecuali semasa TV menayangkan cerita MC Gyver. Jadi ulat buku aku... Ada kalanya aku balik dari belajar pukul 4.00 pagi.

November 1987 - Peperiksaan yang ditunggu-tunggu pun menjelang.

16 November 1987
Merupakan hari terakhir peperiksaan SPM juga hari terakhir aku di sini. Banyak perkara yang dapat aku pelajari sepanjang kehidupanku di sini. Aku bercadang untuk berehat dan kemudian bekerja buat seketika sebelum meneruskan pengajian sekiranya aku mendapat tempat nanti. InsyaAllah.. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Pada mulanya Zulkefly mengajak aku untuk bekerja di Subang Airport sebagai cleaner dan aku menyetujuinya. Maka untuk 2 bulan berikutnya aku akan bergelar seorang cleaner. Pakcik Masrilah merupakan orang yang bertanggungjawab mendapatkan aku pekerjaan ini dan dia adalah bapa saudara kepada Zul. Aku bekerja shif 3:00 petang hingga 11:00 malam. Menyapu sampah, mencuci cermin, tandas dan sebagainya. Yang seronok sekali ialah aku mendapat kebenaran untuk ke kawasan-kawasan larangan di dalam kawasan lapangan terbang ini termasuk ke menara kawalan. Pada masa itu aku akan bertolak dari rumah pada pukul 2:15 petang naik bas Sri Jaya bernombor 47 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

Bekerja di sini menyebabkan aku menjadi seorang pengemas yang baik. Apapun, Pakcik Masri mempunyai seorang anak gadis yang bernama Norizan. Pada masa itu aku berumur 18 tahun dan dia pula berumur 25 tahun merupakan seorang penari kelab budaya negara. Dalam diam dia meminati aku walaupun umur kami jauh berbeza. Katanya aku seorang remaja yang matang pemikirannya.


www.faizalyusup.com

No comments:

Post a Comment