Friday, September 18, 2009

1983 - 1985 SAS Petaling Jaya

Selepas menghabiskan pengajianku di sekolah rendah aku terus dihantar ke Sekolah Menengah Jalan Bangsar tetapi kedua ibubapaku tidak suka akan cadangan itu lalu bapaku telah pergi ke Jabatan Pendidikan untuk memohon pertukaran sekolah. Akhirnya permohonan itu berjaya dan aku dipindahkan ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya yang tidak berapa jauh dari rumahku. Sekolah ini terdiri dari kebanyakannya pelajar-pelajar Cina. Maka, tahun pertama aku di sini aku telah diletakkan di tingkatan Satu Hijau. Satu insiden pernah berlaku pada masa ini semasa kelas English yang diajar oleh Cikgu Vijay. Dia bertanyakan aku satu soalan dan entah mengapa lidah aku kelu walaupun aku tahu akan jawapan kepada soalannya itu. Aku langsung tidak dapat berbicara kerana mulutku seakan terkunci. Cikgu Vijay naik bengang saraya berkata " kau ni bisu ke ? ". Inilah antara pengalaman yang masih segar dalam ingatan aku semasa aku dalam tingkatan Satu Hijau.

Tetapi tak lama kemudian sejarah berulang lagi seperti mana semasa aku berada dalam darjah satu apabila aku ditukarkan ke Tingkatan 1 Merah sebelum peperiksaan penggal pertama bermula. Keadaan ini berlaku kerana kelas tersebut kekurangan kuota murid melayu dan menurut kelayakan peperiksaan penilaian mungkin hanya aku yang layak berada di dalam kelas tersebut. Pada suatu hari entah macamana semasa pulang dari kelas ugama sedang aku meluru untuk membuka pintu tiba-tiba pintu itu ditendang dari belakang dan bucu pintu itu tepat terkena muka aku dan menyebabkan darah terpancut keluar dari kening sebelah kiri muka aku. Sehingga kini parut itu masih lagi kelihatan. Pintu itu ditendang oleh Chin Kean Shiung. (Chin Kean Shiung sekarang bekerja sebagai jurutera dia MAS).

Pada masa ini sahabat-sahabat baruku terdiri dari kaum Cina. Antara yang baik denganku ialah Lee Voon Kian atau nama panggilannya Kaloi, Liew Voon Chuan atau Sumo, Chan Choon Sien, James Lim Chin Ten, Danesh, Steven dan lain-lain lagi.

Tingkatan 2 Perdagangan Merah. Aku teringat betapa nakalnya aku pada masa itu. Aku telah dilantik menjadi Penolong Ketua Tingkatan pada masa itu. Ini semua gara-gara Chan, Danesh juga James. Memang tidak dapat aku pertikaikan yang rakan-rakan aku itu semuanya bijak-bijak belaka begitu juga kenakalan mereka. Kelas kami terletak di atas bilik rekreasi atau bilik TV di mana kami semua disajikan dengan rancangan yang tidak asing lagi pada masa itu " TV Pendidikan." Bagi aku sekiranya cikgu malas mengajar di sinilah kami akan diletakkan.

Kenakalan kami memang diketahui pihak sekolah tetapi memandangkan pencapaian kami yang baik maka selalunya kami terlepas dari hukuman. Mungkin pada masa itu kami terlalu muda untuk mengetahui akan kehidupan. Apa yang kami tahu ialah bermain dan terus bermain. Kalau kami hendak naik ke kelas, kami tak pernah ikut tangga tetapi memanjat dinding ala spider man. Dinding di belakang kelas pula dijadikan tempat berlatih kungfu iaitu kami akan menendang dinding itu dan menandakannya, Sesiapa yang mempunyai tendangan yang tertinggi akan di kira juara. Perbuatan kami ini akhirnya membawa padah dan akhirnya kami didenda seorang seringgit untuk membeli cat sebelum mengecatnya semula di hujung minggu.

Clinton Lee Sze Kim adalah salah seorang rakan sekelasku yang paling nakal. Pernah dia membengkokkan kedua-dua kipas kelas kami dan apabila cikgu Hamidah yang seksi itu datang mengajar pastinya dialah yang akan mengintai dan memberitahu kami akan apa yang dapat dilihatnya dalam bahasa Kantonis. Dia juga mempunyai kebolehan menari " break dance " dengan baik.

Pernah pada satu hari kami bermain bola selama empat period dan dipanggil oleh Cikgu disiplin, Cikgu Nik Azmi. Puas kami di syarahnya hari itu. Pada satu hari Clinton yang ponteng kelas Pengajian Jasmani telah membengkokkan bilah-bilah kipas menjadi seperti bunga orkid. Sekali lagi habis sati kelas di denda kerana kenakalannya itu.

Cuti penggal kedua, Oleh kerana terdapat peningkatan dalam pembelajaranku maka seperti yang dijanjikan ibuku memberi hadiah yang berbentuk percutian ke Kuching, Sarawak. Beginilah cara galakkan yang diberikan oleh ibuku untuk berjaya dalam bidang akademik. Perkara ini ada kebaikannya tetapi ia juga boleh mendatangkan keburukan. Maka selama dua minggu aku tinggal di Sarawak bersama Pak Ngah Zainalku.

Pada masa yang sama Ezaad abangku menghadapi peperiksaan SRP satu peperiksaan atau dugaan pertama bagi kedua orang tuaku untuk menguji kebijaksanaan anak-anak mereka. Ibukulah orang yang paling takut sekiranya kami terkandas. Apabila abangku lulus SRP dengan agrigat 16 kegembiraan jelas kelihatan di wajah ibuku.

Tingkatan Tiga Perdagangan Merah. Kami ditempatkan di blok B kelas terhujung sekali di blok tersebut. Pada masa tu Cikgu Lee adalah cikgu yang paling ganas yang ada mengajar pelajaran Matematik. Cikgu Lim pulak mengajar pelajaran Sains. Kerjanya mengendap bebudak dari belakang kelas.

Pada masa ini kami ke sekolah beramai-ramai menaiki basikal memandangkan agak letih juga untuk berjalan kaki ke sekolah. Kami akan bertemu di hadapan Kolej jururawat sebelum meneruskan perjalanan.

Masa ni aku dipilih lagi untuk menjadi pemain kelas tapi sebagai penjaga gol. Waktu itu persembahan aku masih belum konsisten kerana aku tidaak dapat mengawal perasaan gementar yang ada. Kalau masa training punyalah aku terbang menyelamatkan bola dari masuk ke gawang gol tapi bila perlawanan sebenar, aku gugup dan menjadi penyebab kekalahan pasukan aku. Entahlah...

Tahun ini aku harus menyiapkan diri untuk peperiksaan SRP demi untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan empat. Aku tidak menitik beratkan peperiksaan tersebut hanya kerana abangku Ezaad lulus dengan pangkat A. Walau bagaimanapun ibuku tidak mahu ketinggalan untuk memasukkan aku ke tuisyen dan aku memilih untuk belajar di Tutorial Institute. Di sana aku berkenalan dengan Zulkifli Mohd Yasin juga Sanyzal Othman. Zul dan Sanyzal adalah pelajar sekolah aku tetapi di dalam kelas yang berlainan. Kami belajar pada sebelah petang hari Selasa dan Khamis. Di sini jugalah aku berkenalan dengan Wati, Sarina juga Suzanna.

(Semasa catatan ini ditulis Wati telah berkahwin buat kali yang kedua dan menetap di Pandan Indah, Sarina atau nama pangillannya intan juga telah berkahwin dan tinggal di Bangi, Suzanna berkahwin agak lewat dan bekerja di Affin Bank. Aku pula masih berkawan dengan Sarina Shafri sehingga kini.)

(Aku langsung terputus hubungan dengan Sanyzal tetapi berhubung dengan Zulkifli Yasin sehinggalah kezaman ITMku selepas itu aku tak mendengar darinya lagi walaupun ibunya merupakan ibu angkatku dengan panggilan Mama)

Peperiksaan SRP berjalan dengan baik dan aku masih ingat lagi dengan matapelajaran matematik. Semasa itu selesai sahaja peperiksaan kamiu terus memeriksa sesama sendiri dan aku cuma salah 4 soalan dan ini mencukupkan aku untuk mendapat pangkat A1 dalam pelajaran tersebut. Selang beberapa bulan kemudian keputusan SRP keluar dan aku lulus dengan agrigat 9. Ibuku amat bergembira dengan kelulusan ini.

Kami kemudian memohon untuk menyambung pelajaran ke sekolah teknik juga vokasional. Aku dan Zul layak untuk ke Sekolah Teknik dan Sanyzal pula layak untuk ke Vokesional. Masa ini ibubapaku mahu aku meneruskan pelajaran ke sekolah Sains ataupun Mara malangnya hajat mereka tidak kesampaian kerana aku hanya diterima masuk ke Sekolah Menengah Teknik, Jalan Cheras. Zul pula ke Teknik Seremban dan Sanyzal di Vokesional Setapak. Semenjak itu perhubungan kami bertambah renggang kerana kejauhan.

Tahun ini ibuku mengambil keputusan untuk membeli rumah apartmen PKNS di Shah Alam dan konflik berlaku diantara kedua orang tuaku mengenai apatmen tersebut. Ibuku berhasrat agar dapat berkongsi dengan bapaku tentang pembelian apatmen tersebut malangnya bapaku pula atas sebab tertentu tidak tertarik langsung dengan apatmen itu jadi dia dengan jelas tidak mahu kena mengena tentang pembeliannya. Jadi mahu tak mahu ibuku terpaksa meminjam dari ibu saudaranya sebagai bayaran deposit rumah tersebut. Dan selebihnya terpaksa dipinjam daripada Bank.

Untuk 3 bulan yang pertama tahun ini aku masih lagi bersekolah di sekolah Samad memandangkan aku masih belum lagi mendapat keputusan permohonanku ke sekolah Sains mahupun Teknik. Semasa ini kami tidak punya kelas yang tersendiri jadi kami berpindah randah dari satu kelas ke satu kelas. Aku di dalam kelas anggun 4 Sains Merah yang terdiri daripada kebanyakannya pelajar Cina.


www.faizalyusup.com

1 comment:

  1. Harrah's Philadelphia Casino & Racetrack - Mapyro
    Welcome to Harrah's Philadelphia Casino & 춘천 출장샵 Racetrack, 강원도 출장샵 just a 5-minute drive 창원 출장안마 from Philadelphia, PA. A short 동해 출장안마 drive from Horseshoe Casino and the Boardwalk, 경상남도 출장샵

    ReplyDelete