Tuesday, October 20, 2009

1988 - ITM

Pada bulan Julai 1988 aku diterima masuk ke Institut Teknologi Mara dalam kursus Diploma In Banking Studies. (BM12) Aku mendapat nombor ID pelajar yang cantik iaitu 88287747. No ID yang tak pernah aku lupakan sehingga sampai bila-bila. Sejurus menerima keputusan itu aku memotong rambut dengan potongan askar yang begitu pendek tanda kesukuran ke hadrat Allah dan sebagai azam untuk aku belajar dengan bersungguh-sungguh selepas ini.

Kekecewaan yang aku bawa kerana keputusan yang tidak memberangsangkan dari peperiksaan  SPM masih jelas terbayang. Aku tahu aku sesungguhnya keputusan yang aku terima itu tidak mengecewakan ibu bapaku  malah membanggakan mereka tetapi ia tetap mengecewakan aku. Aku sedar akan kebolehan aku tetapi malangnya konsentrasi aku terjejas dek keadaan yang terpaksa aku lalui satu ketika dahulu. Tapi tak mengapa kerana sekarang aku telahpun berada di sini. Dewan Sri Budiman ini menjadi saksi bahawasanya aku akan memulakan hidup baru yang lebih cemerlang dan melupakan kekecewaan masa lalu.

Semasa mendaftar aku duduk di sebelah Syed Ahmad Fuad seorang budak Pulau Pinang. Entah kenapa bila dia bertanyakan namaku aku katakan yang nama aku Man dan inilah yang menjadi punca dia mempromosikan aku dengan nama Man Greng. Nama Keringgiee telah ditinggal pergi dan sepanjang di ITM aku dikenali sebagai Greng disebabkan oleh Syed. Namun demikian Steng, Stone dan Bulues masih mengekalkan nama mereka sampai ke sini.

Mulai hari ini aku dikenali sebagai seorang siswa di pusat pengajian tinggi.
           
Pada mulanya aku ditempatkan di Kolej Perindu selama seminggu untuk orientasi. Disebabkan aku sudah biasa tinggal di asrama maka keadaan ini tidaklah menjadi satu masalah bagi aku. Malah orientasi yang dijalankan oleh para seniors juga tidaklah membebankan aku.
           
Kemudian aku dipindahkan ke Kolej Jati yang terletak di luar ITM. Kolej ini merupakan apartmen kediaman awam tetapi telah ditukar kepada sebuah Kolej apabila ia diambil alih oleh pihak ITM daripada PKNS. Maka kami berlapan di tempatkan di bilik bernombor 4106 blok D. Tingkat bawah menghadap blok C yang juga blok lelaki. Aku tinggal sebilik dengan Nor Azlan bin Zainal seorang pelajar kursus Accountancy. Kamaruzaman bersama Amran dan yang lainnya Leslie, Faiz, Rambo dan Alias tinggal di hall bahagian hadapan apartmen tersebut.    

Pada masa in aku mempunyai kumpulanku yang tersendiri yang terdiri dari Azman atau Manjoe, Azli atau Lord, Zainol atau Hammerhead dan Halidi atau Jojet. Aku pula Greng. Kami selalu melepak bersama-sama bercerita tentang perihal latarbelakang kami sebelum kami menjejakkan kaki di sini.

Di dalam kelas kumpulan kamilah yang paling nakal yang suka menyampuk apa yang pensyarah katakan. Tanpa aku sedari mungkin sampukan-sampukan itulah yang menunjukkan bahawa aku menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.  Semester berlalu dengan baik bagi aku tanpa sebarang kepincangan. Lagipun azamku masih lagi kuat untuk menebus kekecewaan masa lalu. Dalam matapelajaran Inggeris kami terpaksa berpisah kerana penguasaan yang berbeza dalam bahasa tersebut. Aku sekelas dengan antaranya Jojet, Shidi dan Sani. Aku rasa aku adalah antara yang paling suka menyanyi, dan kelas di "basement Business School" ini menjadi tempat aku melepaskan gian. 

Hari yang ditunggupun tiba, keputusan peperiksaan semester pertama sudah berada di dalam tanganku. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dan apabila aku katakan pada rakan-rakanku tak seorangpun di antara mereka yang lebih tinggi dari aku. Akhirnya aku mendapat tahu yang ianya adalah yang terbaik yang dicapai dalam kursus ini. Sungguh tidak aku sangka. Ia membuktikan kata ibuku selama ini yang sekiranya aku melakukan sesuatu itu bersungguh-sungguh maka aku boleh jadi seorang yang cemerlang.


www.faizalyusup.net


No comments:

Post a Comment