Friday, September 18, 2009

1977 - 1982 - Brickfields 2

Isnin 2 hb. Januari 1977. Hari ini sangat bermakna dalam sejarah hidup aku. Pagi itu ibuku mengejutkan aku awal-awal pagi dan memakaikan aku dengan baju berwarna putih dengan seluar biru "navy" juga kasut Bata yang dibeli oleh bapaku di kedai kasut di Jalan Bangsar tempohhari. Semuanya serba baru. Kata bapaku aku akan mula bersekolah hari ini. Aku tak sangka pula yang aku terpaksa pergi dan balik sekolah buat bertahun-tahun lamanya bermula pada hari itu. Bermakna tamatlah zaman keseronokan bermain dan terus bermain hingga malam.

Maka bermulanya alam persekolahan. Aku masih ingat lagi hari pertamaku pergi ke sekolah membonceng motor kapcai tua bapaku Honda C70 bernombor BAB 921 yang mana kerusi tempat duduknya dengan mudah boleh tercabut. Aku bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Brickfields Dua sedangkan kami tinggal di Pantai Dalam dan sebenarnya sekolah itu agak jauh dari rumah. Apapun aku ke sekolah menaiki bas sekolah Abang Botak yang sehingga kini aku tak tahu apa nama sebenarnya.

Gigi kapak Cikgu Khamisah jelas terbayang di mataku. Cikgu Khamisah entah mengapa amat menyayangi aku lantas dia meletakkan akau betul-betul di hadapan papan hitam kelasku sedangkan rakan-rakan sekelasku semuanya duduk jauh ke belakang sana. Mungkin Cikgu teringat akan rupa anaknya yang menyerupai diriku atau mungkin kecerdasanku didalam mata pelajaran yang menyebabkan kau mendapat perhatian yang sedemikian rupa. Pada masa itu aku di dalam darjah Satu Selatan kelas yang tercorot pada masa itu. Hai, sudah nasibku di masukkan ke kelas ini secara otomatik semenjak hari pertama aku menjejakkan kakiku di sini.

Namun demikian ini tidak lama kerana tak lama selepas itu aku dipindahkan ke Darjah 1 Utara dibawah pengawasan Cikgu Sariah. Pada masa ini aku masih terungat kali pertama aku melukis gambar Cikgu Sariah dan lukisan itu dipaparkan di papan kenyataan. Pada masa itu dalam darjah Satu aku telahpun boleh melukis. Mempunyai kemahiran melukis yang semakin baik saban hari.

Pada masa ini aku punya seorang kawan baik yang bernama Shamsul. Kami selalu melepak bermain di sekolah Methodist Girl School selepas waktu sekolah kerana ibunya merupakan seorang guru di sekolah tersebut. Namun perhubungan ini tak lama kerana dia kemudiannya berpindah ke Ipoh, Perak. Aku tak tahulah sama ada dia mengingati aku ataupun tidak.

Bulan Januari tahun 1978 barulah Ezaad kembali dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur. Dia bersekolah di Monfort School dan dipelihara oleh atukku selama beberapa tahun. Bapaku pula dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengawal Keselamatan dengan gaji pokok sebanyak $495.00.

Pada 21hb Mei tahun 1978 kami berpindah dari Pantai Dalam ke No. C-49, Kampung Awal, Universiti Malaya dan di sinilah aku banyak menghabiskan usia kanak-kanak hingga ke remaja ku.  
 (Kampung Awal adalah sebuah kampung dalam Universiti Malaya yang merupakan quarters para pengawal keselamatan. Ia telah dirobohkan pada tahun 2009 untuk tujuan pembangunan.)

Sebulan selepas itu bapaku membeli TV kami yang pertama. TV hitam putih Telefunken berharga RM350.00. Adam pula berpindah ke rumah bernombor C-72 yang tak jauh dari rumah aku. Aku ingat lagi semasa di dalam tingkatan 3 apabila dia lulus peperiksaan SPMnya Pak Cik Mat Janggut yang diketahui berharta itu telah membelikannya sebuah motor baru Honda C70 berwarna biru dengan nombor plat WAN 6920. Keadaan ini memang biasa di Kampung Awal dan ia menjadi ikutan dari generasi ke generasi semenjak itu. Kekadang aku pun hairan, kerana mereka bukanlah lulus dengan cemerlang tapi hanya sekadar lulus sahaja. Mungkin inilah mentaliti para pengawal di kampungku.

Di kampung Awal inilah aku mengenali ramai kakak-kakak pelajar Universiti yang tinggal menyewa di rumah para pengawal di situ. Bagiku aku begitu terhutang budi kepada mereka kerana saban hari mereka akan duduk di depan tangga rumahku bercerita tentang isu semasa dan isu yang mencabar akalku seorang budak sekolah rendah namun semua ini lama kelamaan mematangkan akalku. Salam seorang yang masih kuingat sehingga kini ialah seorang kaka yang baik hati bernama Sarimah Binti Lasim. Aku doakan kesejahteraan buatnya walau dimana dia berada.

Aku pula meneruskan pengajianku dalam darjah dua. Abang Botak masih lagi menjadi pemandu bas sekolah kami walaupun ianya hanyalah sebuah van yang agak tua. Tepat pukul 12.00 tengahari sampailah dia di perkarangan rumah aku sambil membunyikan hon sekiranya aku terlambat. Aku masih ingat lagi, setiap hari ibuku akan memastikan kami semua menukar baju dan seluar dengan yang baru di cuci. Mungkin kerana ibuku seorang yang percaya kepada kebersihan. Bapaku tidak membeli baju tersebut tetapi ianya di bawa pulang oleh ibuku dari kedai Dobi tempat dia bekerja. Baju yang tidak dituntut oleh pelanggan akan dibawanya pulang apabila lebih tempoh matangnya.

Pada hari itu Ezaad mencadangkan untuk kami pergi tengok wayang cerita Dracula. Jadi malam itu kami pergi ke panggung Sentosa, Petaling Jaya, Panggung yang paling dekat dengan rumahku. Bagi aku cerita tu sangat menakutkan kerana kami masih kecil pada masa itu. Jadi apabila pulang malam itu Noni sudahpun meminta untuk tidur bersama orang tuaku kemudian Ezaad keluar dari bilik selepas hanya sepuluh minit melelapkan mata kerana takutkan Dracula. Kemudian aku pun menurut kerana tiada siapa lagi di dalam bilik melainkan aku. Akhirnya kami semua tidur dalam satu bilik gara-gara Count Dracula.

Pada masa yang sama aku adik beradik selalu dipanggil untuk pemeriksaan gigi kerana kami dijadikan bahan eksperimen oleh bakal-bakal doktor gigi Universiti Malaya. Disebabkan gigi aku yang senget tak tak tentu arah maka aku terpaksa memakai " appliances " untuk membetulkannya dan Doktor kami pada masa itu ialah Miss Ooi Sze Lay.
( Pada masa catatan ini ditulis Dr Ooi Sze Lay telahpun mempunyai sebuah klinik di Petaling Jaya New Town berdekatan dengan Standard Chartered Bank )


Dalam darjah 4 cikgu kelas kami ialah Mrs. Chiew. Pada masa ini jugalah kami diajar cara bersembahyang yang oleh Ustaz Abdul Mutalib. Tidak banyak yang berlaku tahun ini. Pada 15 April 1980, Kami dibawa oleh ayahku ke Singapura untuk bercuti selama seminggu. Ini adalah merupakan percutian kami yang pertama ke Singapura. Kami kena pergi Wisma Pahlawan untuk buat paspot untuk ke sana. Pada hari yang telah ditetapkan kami menaiki teksi ke KTM untuk mendapatka keretapi ke sana. Perjalanan itu terasa sangat lama dan kami terpaksa berhenti di banyak stesyen sebelum sampai ke Singapura. Di sana kami tinggal di rumah Atuk Ngah. Di dalam kelasku ada seorang pelajar baru yang bernama Kamarul Ariffin abang kepada Melissa Saila salah seorang artis. Dia seorang yang nakal dan kedatangan dibenci ramai. Kami nyaris bergaduh beberapa kali kerana perkara kecil walaupun begitu dia merupakan seorang pelajar yang pintar. Atas sebab tertentu dia dibuang sekolah semasa dalam Darjah Lima. Mungkin kerana latarbelakangnya yang gelisah menjadikannya begitu.
(Paling akhir aku bertemu dengannya ialah semasa aku bersekolah di Sek.Men. Sultan Abdul Samad semasa aku dalam Tingkatan Tiga. Sekali lagi dia masuk sebagai pelajar baru dan sekali lagi dia dibuang sekolah kerana membawa rokok ke sekolah.)

Semasa aku dalam Darjah Lima aku telah dipilih menjadi pengawas sekolah. Maka rutin hidupku mula berubah kerana aku terpaksa datang awal dan menurut jadual waktu mengawas. Tengoklah, kekadang ditugaskan di pagar sekolah, di bilik guru, di padang dan yang paling aku benci sekali di tandas.  Pada masa yang sama juga aku dan abangku merupakan pangakap sekolah.

Pada 16hb September 1981 semasa cuti penggal kedua aku juga abangku dikhatankan di klinik keretapi Sentul. Aku diberikan hadiah senaskah majalah Ujang oleh bapaku.

Pada tahun itu juga aku dipilih untuk membuat persembahan permainan seruling sempena hari ulang tahun sekolah. Jadi aku meminta ibuku untuk membeli seruling tersebut dengan harga RM4.90 memandangkan ramai antara kawan-kawanku yang menyertainya. Tetapi pada hari pemilihan aku telah disingkirkan dari pasukan kerana kesilapan kecil yang aku lakukan dalam membuat persembahan dan semenjak itu minat aku terhadap muzik terkubur begitu sahaja. Aku rasa sekiranya aku tidak disingkirkan pada masa itu mungkin apabila aku meningkat dewasa aku boleh bermain satu atau dua alat muzik. Masa itu aku kecil lagi dan tidak dapat menerima trauma yang sedemikian rupa. Aku rasa sebagai seorang guru mereka bertindak sebagai pendidik tidak harus berbuat demikian tetapi sebaliknya memberi rangsangan pada para murid agar mereka belajar dari kesilapan. Dengan yang sedemikian murid tersebut akan membesar dan menguasai pelbagai aspek kehidupan tanpa sebarang halangan.

Namun demikian aku masih lagi berjaya menyertai tarian Boria untuk untuk dipersembahkan pada hari penyampaian Hadiah di sekolah. Aku masih ingat lagi ibuku menjahitkan baju ala-ala Latin berwarna hijau daun pisang untuk persembahan tersebut. Mungkin disinilah bermulanya keberanianku untuk berdiri di atas pentas.

Antara liriknya yang masih ku ingat ialah;
Selamat datang kami ucapkan
Kepada Tuan dan juga Puan
Boria ini kami persembahkan
Boria Brickfields dua punya angkatan..

Tahun itu juga aku menerima beberapa hadiah berupa buku kerana pencapaian cemerlangku dalam bidang akademik.

Aku berada dalam darjah 6. Pada ketika guru tingkatan kami ialah cikgu Aziz bin Putih. Matanya Rabun sebelah kerana terkena bulu tangkis semasa bermain badminton satu ketika dahulu. Aku pula dipilih untuk menjadi penolong ketua pengawas bersama Azizi bin Aziz salah seorang rakan karibku ketika itu. Tak lama kemudian dipilih menjadi ketua rumah Hijau.

Pada penghujung tahun 1982 iaitu pada 18 haribulan November, Bapaku membeli keretanya yang pertama berupa Ford Escort bernombor BAM 2346 yang harganya cuma RM2,300.00 Pada tahun ini jugalah kerjaya permainan yang aku sukai, bolasepak bermula. Aku dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan antara sekolah Zon Sentul. Kami akhirnya hanya berjaya mendapat tempat ketiga selepas dikalahkan oleh Sekolah Kg Pandan. Pada masa ini aku ditugaskan untuk menjadi pemain bek. Cikgu Azizlah merupakan jurulatih kami masa tu. Antara rakan sekelasku yang paling aku ingati ialah Rosman bin Wahid.

Pertamanya dia adalah seorang pelari jarak dekat yang tiada tolok bandingnya tetapi aku bukan mengingatinya kerana itu tetapi kerana dia seorang yang mungkin terlebih matang dalam hal-hal kehidupan. Sebagai contoh sekiranya Cikgu Low yang anggun itu mengajar pastinya dia akan menyentuh punggung cikgu itu sambil meminta kebenaran untuk ke tandas. Tiada siapa yang lebih berani darinya. Aku bertemu semula dengannya beberapa tahun kemudian dan pada masa itu dia dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur atas sebab yang aku sendiri tidak ketahui.

Seorang lagi yang aku ingati ialah Fazir. Dia memang seorang yang berbakat dalam bidang sukan. (Aku bertemu dengannya semula semasa aku bekerja di Perwira Affin Bank dalam tahun 1994 ) . Kami hampir bergaduh antara satu sama lain kerana saling tidak mengenali. Yang paling rapat denganku ialah Zainal Fitri bin Orang Zib yang masih lagi menjadi sahabat karibku sehingga kini. Azizi pula menjadi seorang yang dikenali di Victoria Institution. Yang lainnya tidak lagi aku temui hingga ke saat ini melainkan mereka yang tinggal berdekatan denganku.

Semasa sukan tahunan aku hanya berjaya mendapat tempat ketiga acara 4 X 100 meter dan itulah satu-satunya acara yang aku masuk bertanding.

No comments:

Post a Comment