Tuesday, September 1, 2009

Awal Kehidupan

Bulan April 1970. Semasa ibuku sarat mengandungkan aku, bapaku telah membawanya pulang dari Singapura ke Kampung Istana, Batu Pahat, untuk menyambut kelahiran anak kedua mereka di sana. Kesemua adik beradik bapaku ada di sana, Pak Ngah Isa, Pak Anjang Ismail, Pak Itam Ibrahim, Pak Usu Rahman, Pak Uteh Ramli, Makcik Fatemah, Untie Noraini juga Atok Jamal dan Ibu tiri bapaku Atok Kidah. Oleh sebab kebanyakan ahli keluarga yang ada di rumah itu terdiri daripada anggota lelaki maka Bapaku mengambil keputusan untuk menyambut kelahiranku di rumah sakit daerah Batu Pahat, Johor. Maka pada hari ini, Sabtu jam 7.35 pagi 2 haribulan Mei 1970 dengan rasminya aku menjadi salah seorang penghuni di muka bumi ini. Datukku Abdul Jamal bin Mohd. Noh yang telah mengazankan aku. Apa yang menarik ialah aku dilahirkan dengan berat 9 paun 6 aun yang mana pada masa itu aku merupakan bayi yang paling berat diantara bayi-bayi yang lain di rumah sakit tersebut.

Dari sinilah bermulanya kehidupan aku seorang insan yang diberi nama Ahmad Faizal bin Mohamed Yusup nama yang dipilih oleh orang tuaku yang membawa maksud "yang terpuji dan berjaya". Dapatkah aku membawa nama yang penuh makna ini ke mercu kejayaan ?

Di awal kehidupan kami sekeluarga hidup berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Aku masih ingat aku pernah tinggal di Singapura, Kampung Datuk Keramat, Pantai Dalam, Universiti Malaya dan di beberapa tempat yang lain. Setelah pasukan Askar British dibubarkan pada tahun 1972 bapaku mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dari Singapura.

Jun 1971. Pada mulanya kami menetap di Lorong Kiri 17, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Pada masa yang sama mereka menyambut pula kedatangan seorang puteri ke dalam keluarga ini iaitu adikku Azreen.

Adikku itu lahir semasa banjir besar yang menenggelamkan kebanyakan tempat di semenanjung Malaysia. Atas kuasa Allah Taala rumah kami tidak dinaiki air. Dia dilahirkan pada 10 September tahun tersebut. Mungkin atas rezeki adikku itu bapaku diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan di Jabatan Perangkaan, Kuala Lumpur sebulan kemudian. Selang beberapa bulan kemudian dia meletakkan jawatan kerana menerima lamaran daripada Universiti Malaya dengan jawatan yang sama yang mana beliau sandang hingga ke hari ini. Pendapatan kasar bapaku pada masa itu ialah $165.00.

Disebabkan kerana kesempitan hidup mereka mengambil keputusan untuk mengumpul sedikit duit untuk membeli mesin jahit memandangkan ibuku mempunyai pengetahuan dalam hal jahit menjahit ini. Maka dengan mesin jahit inilah ibuku mencari sedikit wang untuk membantu ayah menyara kami.

Kehidupan awalku tidak banyak bezanya dari orang lain, Ibuku menjaga kami tiga beradik dengan penuh kasih dan sayang. Aku tahu dia adalah seorang yang cekal dalam mendidik kami bertiga. Aku sangat bangga kerana tunjuk ajarnya telah memberi banyak pengajaran dalam hidup aku. Aku tahu akulah anaknya yang paling nakal, aktif dan paling sukar dikawal. Abangku pula seorang yang kuat menangis dan dia boleh menangis selama beberapa jam tanpa henti.

Kami berlima kemudian berpindah ke Pantai Halt, Pantai Dalam dan di sinilah aku mengenali Pakcik Mat Janggut atau nama sebenarnya Ahmad bin Noordin, Makcik Jah dan 13 anggota keluarganya yang lain. Aishah, Kamaruddin, Hassan, Fatemah, Hussin, Hasnah, Adam, Daud, Arif, Yaacob dan lain-lain. Kami tidak mempunyai televisyen pada masa itu jadi sebelah malam kami akan pergi ke rumah pakcik Mat Janggut untuk menonton televisyen hitam putih milkinya. Antara cerita kegemaran pada masa itu ialah Moby Dick, Dr Kildare, Moby Dick dan Space 1999. Kami tinggal berjiran dengan Pakcik Yusuf dan Kak Fauziah yang mempunyai seorang anak kecil bernama Razi.

(Semasa menulis catatan ini Kak Timah baru sahaja kehilangan anak lelakinya yang bernama Yusof pada umurnya 16 tahun kerana demam panas. Dia sekarang menetap di Senawang, kak Aishah menetap di Shah Alam, Adam bekerja di Panasonic dan tinggal di Puncak Alam, Abang Acan pula tinggal di Mantin)

Pada masa itu ibuku semakin rajin mencari tempahan untuk menjahit pakaian disebabkan keperluan keluarga yang meningkat. Aku masih ingat lagi ibuku bangun pada pukul 4:00 pagi bertemankan lampu gasolin dia mula menjahit. Bunyi getaran mesin jahit buatan Singer itu sayup-sayup berkumandang memecah kebuntuan pagi yang bening. Begitulah juga hari-hari yang mendatang. Apabila keadaan semakin mendesak ibuku mengambil keputusan untuk bekerja disamping terus mengambil tempahan menjahit. Pada mulanya bekerja di sebuah kedai dobi di Lorong Maarof, Bangsar Park. Kemudian di sebuah kedai menjahit pakaian di Jalan Maarof berdekatan dengan Maybank. Aku dan adik beradikku pula di jaga oleh Kak Timah. Aku ingat lagi petang-petang kami dimandikan di kolah yang besar di dalam bilik air di rumah Pak cik Mat Janggut. Pada masa itu bapaku pula mula berkebun dan menanam sayur-sayuran di hadapan rumah. Kami ada memelihara seekor itik yang akan bertelur hampir setiap hari. Sungguh seronok pada masa itu.


www.faizalyusup.com

No comments:

Post a Comment