Friday, September 18, 2009

1986 - Freshie TIKL

14 Mac 1986. Hari ini aku memulakan hidup baru sebagai " Freshie " di Sekolah Menengah Teknik, Jalan Tenteram, Cheras, Kuala Lumpur. Kenangan semalam bersama rakan sekelasku di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad masih mengeletek kotak memoriku.

Pada awalnya aku tidak dapat tempat di asrama yang mana ia menyebabkan aku terpaksa menumpang di rumah Atuk Ghani atau aku memanggilnya dengan panggilan Atuk Anjang, abang kepada Atuk Tapa Atuk tiriku. Atuk Anjang hanya ada dua anak iaitu kak Hawa dan Talib yang dua tahun lebih muda dariku. Taliblah orang pertama yang mengajar aku tentang motosikal. Dan dia jugalah yang menanam minatku terhadap motosikal berkuasa tinggi juga tentang cara menunggang yang brutal. (Pendedahan awalnya ini telah menjadikan aku seorang penunggang motosikal yang baik pada tahun-tahun yang seterusnya.)

Sepanjang aku tinggal di sana pembelajaran aku sangat baik memandangkan aku terpaksa mengulangkaji pelajaran juga menyiapkan kerja-kerja sekolah dengan tanpa pertolongan sesiapa. Setiap pagi atuk aku akan membekalkan aku dengan kuih karipap yang dimasaknya buat jualan di kedai. Tetapi jarang sekali aku memakannya kerana kau tidak biasa makan pagi jadi kuih tersebut akan aku berikan kepada kawan-kawan. Dalam masa yang sama aku berkenalan dengan Wan Abdul Jabar dan Nasa Radzie yang tinggal tidak jauh daripada rumah datukku itu. Setiap kali hujung minggu aku akan menghabiskan masa di Kg. Awal.

Selang beberapa bulan kemudian selepas keputusan penggal pertama keluar dan atas usaha gigih ibuku, aku mendapat tempat di asrama dan aku ditempatkan di bilik B8. Di sinilah buat pertama kalinya dalam hidupku aku belajar mengenal kehidupan di asrama.Disinilah aku mengenali Shamsulsham, Azumi rakan sekatilku yang saban hari belajar tanpa henti, Azmil budak Kelang yang akhirnya dibuang sekolah, Syafrizal, Sabri yang agak brutal sikapnya, Halimun, Ramali dan beberapa orang yang lain. Pada mulanya agak sukar bagiku untuk aku menyesuaikan diri dengan keadaan ini kerana tabiat para senior yang suka membuli pelajar junior. Tetapi dalam ramai itu aku suka pada Abang Syed yang selalu memberi pengisian ugama. Minggu orientasi yang bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara pelajar berpanjangan hingga habis penggal persekolahan. Di sini kami didisiplinkan mengikut jadual waktu. Rutin kami hampir sama setiap minggu iaitu ;

5:30 pagi - bangun pagi, mandi
6:00 pagi - sembahyang subuh
6:30 pagi - makan pagi
7:30 pagi - pergi sekolah
2:05 petang - balik sekolah dan makan tengahari
2:30 petang - sembahyang zohor
3:00 petang - prep
5:00 petang - sembahyang asar dan makan petang
5:30 petang - senaman
6:30 petang - makan malam
7:30 petang - sembahyang maghrib
8:30 malam - sembahyang isyak
9:00 malam - prep
11:00 malam - rehat
11.30 malam - lampu ditutup - tidur.

Kemudian kami hanya dibenarkan pulang sekali dalam sebulan dan sehari lagi balik hari atau digunakan istilah ke pejabat pos.

Keputusan pelajaranku mula merosot kerana aku menjadi semakin malas kerana kau dapat meniru apa jua kerja rumah dan berbagai lagi dari kawan-kawan sekelasku yang tinggal di sini. Apa yang aku tahu segala kerja-rumah itu berhantar samaada aku faham ataupun tidak.

Pada masa ini aku mengikuti latihan bolasepak sekolah bertujuan untuk melarikan diri aku dari "prep" dari pukul 3.30 hingga 5.30. Tapi hanya untuk tahun ini dan ia tidak berpanjangan hingga ke Tingkatan Lima kerana aku mahu menumpukan perhatian pada pelajaran kononnya.

Hujung tahun itu kami bercadang untuk berkelah di Templer Park. Seramai 13 orang bersetuju untuk pergi ke sana. Antaranya Wan, Pet, John, Cipan, Nasa, Raux, dan yang lainnya.

Pagi itu ibuku berpesan untuk berhati-hati dan aku mengingati akan nasihatnya itu. Malang tidak berbau sedang kami berseronok di sana aku tergelincir dan mukaku tersembam ke batu dan jatuh kira-kira 25 meter. Pada masa itu aku ingatkan yang aku akan kembali menemui yang maha Esa jadi aku terus mengucap dua kalimah syahadah semoga aku diampunkanNya, tetapi aku bernasib baik kerana terselamat. Darah tersembur dari hidung juga mulutku. Selang beberapa minit kemudian Cipan juga tergelincir tetapi dia tak apa-apa. Aku terus dikejarkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan terpaksa bermalam di sana. 11 jahitan terpaksa dilakukan di dalam mulutku dan gigi kapak kiriku pula patah. Tulang hidungku pula retak sebelah kiri dan ianya menyukarkan pernafasan aku sehingga kini terutamanya apabila aku terkena selsema. Dua minggu selepas itu aku terlantar di katil, makan bubur nasi dan duduk ketika tidur.

No comments:

Post a Comment