Friday, September 18, 2009

1975 - Zaman kanak-kanak

Aku sangat rapat dengan Adam Ahmad, salah seorang anak Pakcik Mat. Dia merupakan idola aku pada masa itu. Aku selalu berangan untuk menjadi seorang yang sepertinya. Dia banyak mengajar aku tentang selok belok kehidupan pada kala itu. Kalau difikirkan kembali memanglah dia lebih arif tentang banyak perkara kerana umurnya yang 5 tahun lebih tua dari aku. Adakalanya kami menghabiskan masa mencari belut di sungai, menjerat burung ayam-ayam, bermain layang-layang, guli dan bermacam lagi yang semakin pupus sekarang. Seperkara lagi Adam memang pandai bermain bolasepak. Pada masa itu aku akan selalu mengekor Adam ke mana jua dia pergi.

4 Mei 1975, Pak Itam membawa aku ke Yong Peng untuk tinggal dengan datukku di sana selama beberapa bulan. Di sana aku tinggal di quarters Polis dan datukku ada membela seekor monyet yang di ikat pada sebatang tiang. Pada suatu hari tanpa kuduga dengan tak semena-mena monyet tu telah memanjat bahuku dan menggigit belakang tengkukku. Bukan kepalang sakitnya. Nasib baiklah Atuk Kidah datang untuk membantu. Hingga kini parut dibelakang tengkukku itu masih kelihatan andainya aku memotong rambut pendek.

Pada 16 Oktober 1975, Bapa ibuku Mohd. Salleh bin Ismail kembali ke Rahmatullah. Aku tak pernah ingat yang aku pernah bermesra dengannya dahulu. Seakan aku tidak pernah mengenalinya. Keadaaan ini menjadi kemusykilanku sehingga aku meningkat dewasa. Akhirnya aku mendapat tahu dari ibuku yang sebenarnya datukku itu tidak merestui perkahwinannya dengan bapaku. Atas sebab inilah kami tidak pernah dapat mengenali Datukku yang satu ini.

20 Disember 1975, Atuk Jamal membawa Ezaad pulang ke Batu Pahat untuk bersekolah di sana. Ezaad kemudiannya dimasukkan ke sekolah Monfort Boys School. Selama beberapa tahun dia tinggal di sana atas jagaan datukku. Mungkin atas sebab-sebab tertentu ayahku menghantar dia ke sana. Cuma apabila aku dalam darjah 2 dia kembali ke sini dan bersekolah di sekolah yang sama denganku.

Pada masa ini aku punya seorang kawan baik bernama Muzzaffar Othman. Kami selalu bermain bersama dan salah satu permainan kesukaannya ialah tinju. Dia punya glove untuk bertinju. Tapi aku tak ingat bagaimana kami boleh terputus hubungan. Aku juga berharap agar dia hidup dalam keadaan yang sejahtera dalam lindungan Allah Taala senantiasa.

Semasa kecil aku begitu malu untuk memberitahu orang lain yang bapaku bekerja sebagai seorang jaga dan keadaan ini berterusan sehingga aku meningkat remaja. Ia menyebabkan aku kurang keyakinan diri bila berkawan dengan orang yang berada.


www.faizalyusup.com

No comments:

Post a Comment