Friday, September 18, 2009

1988 - Keputusan SPM

22 Mac 1988.
Hari ini keputusan peperiksaan SPM keluar. Sijil Pelajaran Malaysia bagi aku adalah sijil yang terpenting dalam sekiranya seseorang itu hidup di Malaysia kerana ia menentukan samaada seseorang itu bakal menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau terpaksa terjun ke dunia pekerjaan dalam usia yang begitu muda.

Semasa itu aku bekerja sambilan sebagai invigilator, menjaga peperiksaan akhir penuntut di Universiti Malaya. Pada masa ini aku mengenali Jeffri, Mas Ayu Fatimah, Norzalela atau Norza dan Raziah. Aku berkawan baik dengan Nora tetapi pada masa yang sama aku minat pada Raziah. Gadis yang berkaca mata dan berambut panjang ikal mayang. Entah kenapa aku begitu meminati gadis berambut panjang begini.

Pada hari itu aku meminta kebenaran untuk keluar selama beberapa jam untuk pergi mengambil keputusan tersebut. Semasa aku melangkah masuk ke dalam perkarangan sekolah degupan jantungku semakin laju kerana aku takut aku tidak mendapat keputusan yana aku inginkan. Mengikut perkiraan yang aku buat sendiri aku berupaya untuk mendapatkan paling tidak, gred 2 dengan 26 agriget.

Dalam perjalanan menuju ke sekolah hati aku berdebar-debar sama ada aku akan menerima nasib yang baik atau sebaliknya. Sama ada aku balik dengan kegembiraan atau aku akan pulang membawa sebuah kekecewaan. Kenangan semalam melintasi kotak memori aku semasa dalam perjalanan menuju ke destinasi. Sudah lama aku meninggalkan sekolah ini dan hari ini aku kembali semata-mata untuk mengetahui samaada aku berjaya dalam bidang akademik ataupun tidak.

Semasa aku melintas menuju ke kantin aku ternampak kelibat Cikgu Sabariah yang tak semena-mena berhenti apabila ternampak aku. Tahu-tahu keputusan peperiksaanku sudahpun berada di dalam tangannya. Cikgu Sabariah tersentak lalu kertas sehelai itu terlepas dari genggamannya. Dia seakan terkejut melihatkan keputusan peperiksaanku yang mungkin dianggapnya cemerlang memandangkan dia hanya meramalkan yang aku akan hanya lulus pangkat kedua. Aku memungut lalu meletakkannya kembali ke tangannya.

Sejurus selepas itu aku menuju ke arah pondok telefon yang berdekatan. Panggilan aku buat kepada ibuku. dengan menekan butang B pada telefon itu barulah suaraku didengari mereka.
" Hello.. Pakcik..., mak ada" ? kataku apabila mendengar suara pakcik Jamal melalui corong talipon itu.
" Hello.." kedengaran sayup-sayup suara ibuku.
" Mak.. Keputusan dah dapat.. teruk..." kataku perlahan.
" Dapat gred berapa? 3... takpelah....." kata ibuku dengan nada sayu cuba menenangkan aku.
" Taklah...., agriget 2..2" sahutku.
" Hah! gred 2? " nada suaranya mula menunjukkan keceriaan.
" Taklah..., Gred 1 agriget 22" aku menyambung.
" Gred 1!!! baguslah.. tahniah! tahniah! Zal... Malam ni kau nak makan apa?" Kegembiraannya tidak dapat dibendung lagi..

(Pakcik Jamal atau nama penuhnya Jamaludin Jais menjadi bapa tiriku pada penghujung tahun 2001 iaitu tahun yang sama peninggalan arwah bapaku.)

Aku tahu ibuku amat berbangga dengan pencapaian ini kerana dihati setiap ibu kejayaan mereka mendidik anak-anak bergantung kepada kejayaan anaknya didalam kehidupan termasuk dari segi pelajaran. Sejurus itu aku menceritakan akan kekecewaanku dengan keputusan ini kerana aku tahu aku berupaya melakukan lebih baik seandainya keadaan menyebelahi aku. Ibuku menyuruh aku bersabar dan bersyukur atas apa pun jua. Hari itu aku pulang dari sekolah dengan hati yang syahdu. Syahdu kerana kekecewaan ini malangnya pahit maung yang telah aku lalui sepanjang pengajianku di sini tertera pada keputusan ini. Jesteru itu aku berjanji untuk tidak mengulangi perkara yang serupa di masa hadapan.

Kemudian aku berpusing-pusing di perkarangan sekolah dengan harapan aku dapat bertemu dengan Zuraida. Malangnya dia tiada.

Petang itu semasa menjalankan tugas di Dewan Tunku Chanselor aku mengambil keputusan untuk membuat panggilan telefon kepada Zu. Akhirnya aku mendapat tahu yang keputusannya tidak memuaskan hatinya dan dia begitu hampa. Dia agak terkejut dengan pencapaian aku kerana mungkin padanya aku tidak mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian. Begitu juga dengan Che Azam juga Wan Abdul Jabar. Tapi yang paling hampa diantara rakan-rakanku ialah John yang hanya mendapat pangkat ketiga. Begitulah reaksi kebanyakan rakan-rakan, sahabat handaiku yang semuanya tidak menyangka yang aku boleh melepasi rintangan ini. Entahlah.. Ini semua datang dari Allah Taala atas berkat usaha aku selama ini. Usaha yang tidak aku tunjukkan pada mereka. Aku mengulangkaji pelajaran pada waktu larut malam semasa orang lain sedang tidur dan ini mungkin merupakan alasan yang menghasilkan keputusan ini. Apapun aku bersyukur ke hadrat Allah Taala atas segalanya.

Sekolah Menengah Teknik telah banyak menyedarkan aku tentang keagamaan yang dahulunya tidak aku ketahui. Ramai pelajar yang ada di sini datang dari kampung dan mempunyai pendidikan yang baik dari segi keagamaan dan secara tidak sedar mereka sedikit sebanyak menyumbang kepada pengetahuanku dalam aspek ini. Terlalu banyak kesedaran yang timbul dalam hidupku yang mana tanpa aku sedari akan membantuku dalam kehidupan kelak. Keyakinanku kepada Allah Taala pencipta Alam ini menebal sepanjang aku di sini. Mulai saat inilah pegangan yang akan aku bawa kemana sahaja kau pergi walau apapun yang bakal aku lakukan dalam hidupku kerana aku benar-benar yakin yang ianya adalah kebenaran. Selain itu jua ia menjadikan aku seorang yang berani dalam menangani apa jua.

Tanpa aku sedari aku jua mula memahami akan sebuah kehidupan. Keadaan yang berlaku menjadikan aku seorang yang mula berfikir tentang isi alam jua hikmahnya. Aku jua mula dapat membantu mereka yang dalam kesusahan dari segi sokongan moral kerana pemahaman yang aku miliki. Tujuan sebenar aku pada masa itu ialah supaya mereka tidak perlu menempuh kesengsaraan yang aku alami.

Setibanya aku di Universiti Malaya untuk menyambung tugasku ramai diantara mereka yang telahpun kembali memandangkan sekolah mereka berdekatan. Maka kecohlah sepejabat. Ada yang bangga, sedih dan macam-macam reaksi lagi yang dapat aku perhatikan dari mereka. Atas sebab aku tidak berpuas hati dengan keputusan SPMku aku membohongi mereka dengan mengatakan yang aku hanya mendapat pangkat kedua dengan 27 agriget.

2 hari kemudian buat pertama kalinya aku dapat berbual dengan Raziah. Aku mengiringinya pulang ke Kota Raya. Lagipun ibuku memberikan aku duit sebanyak $100.00 sebagai hadiah memandangkan aku tidak mahukan apa-apa. Dengan duit itu aku membeli jaket biru yang menjadi idaman setiap remaja pada masa itu dengan harga $70.00 dan selebihnya aku belanja Aznil makan.

Bertanyakan tentang result SPM pada Raziah dia mendapat keputusan yang teruk. Alangkah terperanjatnya aku bila mengetahui akan hal ini. Aku betul-betul tak sangka. Tapi memandangkan aku suka padanya aku tak kesahlah akan hal itu. Barulah aku sedari raut wajah yang cantik tidak menjamin akal yang baik. Di sinilah bermulanya perkenalan aku dengan Raziah binti Rashid. Seorang gadis yang baik hati.

Sabtu April 2 1988 - Hari ni aku mengambil keputusan untuk membelikan kek sempena hari perpisahan kami bekerja di Universiti Malaya. Semenjak itu aku tak bertemu lagi dengan kengkawan sekerjaku itu kecuali Raziah.

Pada masa ini aku mula terasa yang aku sudah meningkat dewasa jadi aku selalu keluar dan balik larut malam. Pada awalnya tindak tandukku ini tidak digemari oleh ibuku namun lama kelamaan setelah aku memperolehi kepercayaan darinya yang aku cuma menghabiskan masa minum teh atau bermain snuker bersama kawan-kawan dia ternyata lega. Mulai saat itu dia tak pernah lagi menunggu kepulangan aku dari mana pun pergi. Apa yang penting dia sentiasa mendoakan keselamatan aku walau di mana aku berada.

Hari itu semasa aku di dalam bas Sri Jaya 238 aku yang seperti biasa duduk di tempat duduk paling belakang sekali untuk pulang dari sekolah. Bersama aku ada dua tiga orang penumpang yang lainnya. Antaranya seorang lelaki berbangsa Cina dalam lingkungan umur 50 tahun duduk berhadapan denganku yang mungkin baru balik dari pasar dan di sebelah kananku pula seorang lelaki muda berbangsa melayu. Tangan kanan lelaki Cina tersebut memegang pada tiang yang ada di dalam bas tersebut sementara tangan kirinya pula sarat dengan pelbagai barangan dapur temasuk satu plastik yang penuh berisi buah limau Sunkist.

Malang tidak berbau apabila bas tersebut mengambil pusingan yang tajam berdekatan dengan Istana Negara, plastik-plastik yang dipegang oleh lelaki Cina tadi terlepas dari genggamannya maka berteRaburan segala apa yang ada di dalamnya dan ini termasuklah buah-buah limau yang terhambur jatuh bergolek-golek di atas lantai bas tersebut. Maka lelaki tua itu pun terus merangkak cuba mengutip barangannya kembali sedangkan aku juga lelaki muda cuma berpandangan membatu. Aku berharap yang lelaki itu bangun membantu sedangkan itu mungkin perkara yang serupa yang difikirkannya terhadap aku.

Ketika ini hati aku berbelah bagi samada hendak menolong ataupun tidak memandangkan keadaan lelaki tua yang merangkak cuba mengejar buah-buah limaunya yang bergolek-golek ke sana kemari. Ada diantara buah-buah tersebut jatuh ke anak tangga bas, ada yang melintas di kaki pemuda tersebut tapi dia seakan tidak nampak apa yang berlaku. Akhirnya aku menurut kebodohan hatiku untuk mengambil tindakan yang sama yang diambil oleh pemuda melayu tersebut. Maka untuk beberapa minit yang seterusnya aku cuma memerhati lelaki tua itu dengan rasa simpati.

Apabila aku tiba ke destinasiku di Kampung Kerinchi penyesalan terus menggenggam naluriku. Kenapalah aku tidak membantu lelaki tua itu? Persoalan ini terus menerus menghantui aku hingga ke hari ini.

Jadi, mulai hari ini 31 Mei 1988 aku berjanji pada diriku sendiri yang aku akan menolong sesiapa juga yang dalam kesusahan.


www.faizalyusup.net

No comments:

Post a Comment