Tuesday, October 20, 2009

1989 - ITM

Aku masih lagi tinggal di bilik 4106 Asrama Jati. Gembira tak terkata apabila dapat pulang semula ke daerah ini dan bertemu dengan kengkawan lama.

Entah kenapa aku terasa amat sedih malam itu atas apa yang terjadi maka aku menghabiskan masa aku di dalam bilik yang kegelapan ini menangisi apa yang terjadi. Inilah aku. Aku yang gagah di siang hari, dikenali sebagai seorang yang happy-go-lucky kecundang jua di malamnya. Beginilah selalunya dalam setahun pasti ada sekali dua aku kecundang kerana menginsafi akan liku-liku sebuah kehidupan.

Malam itu keadaan agak berbeza kerana tiba-tiba Nor Azli bin Mohd Amir masuk ke dalam kamarku dan aku tidak dapat menyembunyikan mataku yang merah berair ini darinya. Menyedari keadaan ini dia segera mendekati aku dan kata-katanya banyak menolong aku malam itu. Sekarang tahulah aku yang dia adalah seorang yang memahami akan erti sebuah kehidupan. Di sinilah bermulanya persahabatan aku dengannya. Mulai dari saat itu kami dikenali sebagai "blood brother".

Nama panggilan " Lord " yang diberi oleh rakan-rakan seperjuanganku adalah kerana dia adalah anak salah seorang diplomat Malaysia. Pada masa yang sama ibuku membelikan aku sebuah motosikal Honda Cup dengan harga 850 ringgit kerana ibuku mendapat sedikit duit dari keluaran KWSPnya. Motosikal tersebut adalah sebuah motosikal lama tahun 1978. Tetapi yang menariknya ia berwarna keperakkan dengan mud guard depan berwarna ungu dan bernombor plat BAM 1070.

Aku mula dikenali olah kawan-kawanku kerana cara tungganganku yang berbeza juga brutal kalau dibandingkan dengan mat-mat motor yang lain. Mereka mengiktiraf aku sebagai salah seorang penunggang motosikal yang hebat.
Semenjak itu jugalah terjadinya bermacam peristiwa kemalangan yang tidak dapat aku lupakan di dalam hidup aku. Pertama kalinya motor itu di jatuhkan oleh Hanizan atau nama panggilannya Bulues. Selang beberapa hari kemudian aku pula terjatuh di dalam hujan ketika mengambil selekoh berdekatan dengan Kolej Cempaka.

Tergolek depan sect 2 dengan Azul.


www.faizalyusup.net

1988 - ITM

Pada bulan Julai 1988 aku diterima masuk ke Institut Teknologi Mara dalam kursus Diploma In Banking Studies. (BM12) Aku mendapat nombor ID pelajar yang cantik iaitu 88287747. No ID yang tak pernah aku lupakan sehingga sampai bila-bila. Sejurus menerima keputusan itu aku memotong rambut dengan potongan askar yang begitu pendek tanda kesukuran ke hadrat Allah dan sebagai azam untuk aku belajar dengan bersungguh-sungguh selepas ini.

Kekecewaan yang aku bawa kerana keputusan yang tidak memberangsangkan dari peperiksaan  SPM masih jelas terbayang. Aku tahu aku sesungguhnya keputusan yang aku terima itu tidak mengecewakan ibu bapaku  malah membanggakan mereka tetapi ia tetap mengecewakan aku. Aku sedar akan kebolehan aku tetapi malangnya konsentrasi aku terjejas dek keadaan yang terpaksa aku lalui satu ketika dahulu. Tapi tak mengapa kerana sekarang aku telahpun berada di sini. Dewan Sri Budiman ini menjadi saksi bahawasanya aku akan memulakan hidup baru yang lebih cemerlang dan melupakan kekecewaan masa lalu.

Semasa mendaftar aku duduk di sebelah Syed Ahmad Fuad seorang budak Pulau Pinang. Entah kenapa bila dia bertanyakan namaku aku katakan yang nama aku Man dan inilah yang menjadi punca dia mempromosikan aku dengan nama Man Greng. Nama Keringgiee telah ditinggal pergi dan sepanjang di ITM aku dikenali sebagai Greng disebabkan oleh Syed. Namun demikian Steng, Stone dan Bulues masih mengekalkan nama mereka sampai ke sini.

Mulai hari ini aku dikenali sebagai seorang siswa di pusat pengajian tinggi.
           
Pada mulanya aku ditempatkan di Kolej Perindu selama seminggu untuk orientasi. Disebabkan aku sudah biasa tinggal di asrama maka keadaan ini tidaklah menjadi satu masalah bagi aku. Malah orientasi yang dijalankan oleh para seniors juga tidaklah membebankan aku.
           
Kemudian aku dipindahkan ke Kolej Jati yang terletak di luar ITM. Kolej ini merupakan apartmen kediaman awam tetapi telah ditukar kepada sebuah Kolej apabila ia diambil alih oleh pihak ITM daripada PKNS. Maka kami berlapan di tempatkan di bilik bernombor 4106 blok D. Tingkat bawah menghadap blok C yang juga blok lelaki. Aku tinggal sebilik dengan Nor Azlan bin Zainal seorang pelajar kursus Accountancy. Kamaruzaman bersama Amran dan yang lainnya Leslie, Faiz, Rambo dan Alias tinggal di hall bahagian hadapan apartmen tersebut.    

Pada masa in aku mempunyai kumpulanku yang tersendiri yang terdiri dari Azman atau Manjoe, Azli atau Lord, Zainol atau Hammerhead dan Halidi atau Jojet. Aku pula Greng. Kami selalu melepak bersama-sama bercerita tentang perihal latarbelakang kami sebelum kami menjejakkan kaki di sini.

Di dalam kelas kumpulan kamilah yang paling nakal yang suka menyampuk apa yang pensyarah katakan. Tanpa aku sedari mungkin sampukan-sampukan itulah yang menunjukkan bahawa aku menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.  Semester berlalu dengan baik bagi aku tanpa sebarang kepincangan. Lagipun azamku masih lagi kuat untuk menebus kekecewaan masa lalu. Dalam matapelajaran Inggeris kami terpaksa berpisah kerana penguasaan yang berbeza dalam bahasa tersebut. Aku sekelas dengan antaranya Jojet, Shidi dan Sani. Aku rasa aku adalah antara yang paling suka menyanyi, dan kelas di "basement Business School" ini menjadi tempat aku melepaskan gian. 

Hari yang ditunggupun tiba, keputusan peperiksaan semester pertama sudah berada di dalam tanganku. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dan apabila aku katakan pada rakan-rakanku tak seorangpun di antara mereka yang lebih tinggi dari aku. Akhirnya aku mendapat tahu yang ianya adalah yang terbaik yang dicapai dalam kursus ini. Sungguh tidak aku sangka. Ia membuktikan kata ibuku selama ini yang sekiranya aku melakukan sesuatu itu bersungguh-sungguh maka aku boleh jadi seorang yang cemerlang.


www.faizalyusup.net