Friday, August 28, 2009

Catatan pertama

Menurut datukku Haji Abdul Jamal bin Md Noh, susur galur keluargaku datang sebenarnya datang dari seorang imam besar Istana di Kelantan dan kami sebenarnya berketurunan Wan. Wan Mohd Saman yang membuat saliran di Kedah dulu merupakan susur galur keturunanku menurut katanya. Atas sebab datuk nenek moyangku berdagang ke negeri Johor maka mereka mengugurkan nama Wan tersebut. Sejauh mana kebenaran kisah datukku ini tidaklah aku ketahui namun memang salah seorang dari moyangku yang paling bongsu bernama Wan Othman pernah menetap di Kampung Sedeng, Segamat Johor.

Apapun generasi adik beradik bapaku merupakan orang-orang yang berjaya. Tan Sri Datuk Seri Abu Bakar Abdul Jamal merupakan abang sulong bapaku, Prof Abdul Rahman Abdul Jamal pula merupakan adik bongsu bapaku merupakan ketua saintis projek Austronaut Malaysia satu ketika dahulu.

Kompilasi ini adalah kisahku Ahmad Faizal bin Mohamed Yusup Bin Haji Abdul Jamal Bin Mohd Noh Bin Mohd Saman, seorang insan biasa...

XXXXXXXXXXX

Bapaku Mohamed Yusup bin Haji Abdul Jamal dilahirkan pada 15 haribulan Januari 1948 di Kg. Sedeng, Segamat, Johor manakala Ibuku, Fatemah @ Zainab binti Md. Saleh pula pada 15 haribulan Mei 1946 juga di Segamat.

Mereka melangsungkan perkahwinan mereka pada 4 haribulan Mac 1968 di Kampung Istana, Batu Pahat, di negeri Johor. Selepas diijabkabulkan bapaku membawa ibuku ke Singapura. Pada mulanya mereka berdua menumpang di rumah datuk saudaraku yang bernama Abdul Jalil bin Md Noh dan kemudian Idris bin Mohd Noh. Pada bulan Mei 1968 mereka telah menyewa sebuah rumah di Sembawang berdekatan dengan tempat kerja bapaku iaitu di Neeson, Far East Training Center, Singapura. Keadaan mereka amat menyedihkan pada masa itu kerana mereka berdua hanya tidur di atas tikar tanpa tilam. Di dalam rumah tersebut tidak terdapat apa-apa perabot melainkan perkakas dapur untuk memasak dua mulut sahaja. Pada bulan Ogos mereka mendapat tahu yang ibuku telah pun mengandung. Selang beberapa hari kemudian mereka mendapat kuarters di Neeson. Kuarters atap berdindingkan daun-daun dan papan sahaja tapi sejuk dan nyaman tapi keadaan lebih baik kali ini kerana perabot dan perkakas rumah tersedia.

Keadaan tidak banyak berbeza pada hari-hari yang berikutnya sehingga lahirnya abangku pada tanggal 11 Mei 1969. Dia dilahirkan di rumah nenekku di Jalan Perumahan Gurney atau lebih dikenali sebagai Jalan Semarak sekarang yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur. Malangnya dua hari kemudian pada 13 Mei 1969 sejurus selepas pilihanraya umum tercetuslah rusuhan yang menyebabkan seluruh negara diisytiharkan darurat dan kerajaan tentera mengambil alih. Ini terjadi kerana Parti DAP yang keseluruhannya diwakili oleh etnik berbangsa Cina telah memenangi sebahagian besar kerusi parlimen di Kuala Lumpur. Mereka melakukan perarakan beramai-ramai, memukul gendang dan sebagainya jesteru itu menaikkan kemarahan orang melayu. Rusuhan tersebut mengorbankan banyak nyawa dan harta benda.

Dalam pada itu, bapa tiri ibuku menyarankan agar seluruh ahli keluarga menyorok di dalam sebuah kilang percetakan di Kampung Datu Keramat sepanjang masa rusuhan. Nasib mereka baik kerana askar yang berkawal di situ memberi layanan yang baik. Mereka memberi peruntukan makanan yang secukupnya, yang penting sekali pada masa itu ialah susu untuk Ezaad yang baru sahaja lahir. Mungkin mereka simpati melihatkan keadaan itu. Pada 30 Mei keadaan bertambah baik dan darurat hanya bermula pada pukul 4 petang hingga pukul 7 pagi. Barulah bapaku dapat pulang dari Singapura untuk melihat anaknya yang pertama itu dan atas sebab inilah Ezaad didaftarkan kelahirannya pada 31 Mei tahun tersebut setelah keadaan reda.


www.faizalyusup.com