Wednesday, March 6, 2013

Lukisan Batman dan Spiderman di dinding by Faizal Yusup

Assalamualaikum...

Dalam entri kali ini FY hanya ingin memamparkan hobi sambilan FY iaitu melukis. FY memang suka melukis sejak dari kecil lagi dan ia dimulakan dengan lukisan-lukisan superhero Marvel Comic dulu. Kebanyakan karya FY berupa kartun-kartun dan menjelang umur 37 tahun FY telahpun boleh melukis potret. Ia merupakan pencapaian peribadi tetapi taklah FY ketengahkan kerana pada FY melukis benda hidup hukumnya makruh, jadi ia hanyalah untuk kepuasan diri sendiri.

Apapun di sini FY paparkan lukisan dinding yang FY lukis dalam bilik anak bujang FY. Gambar Spiderman dan Batman.







FY

Saturday, February 23, 2013

FY Menyambut Anak Yang Ke 6

Alhamdulillah... Syukur yang tak terhingga ke hadrat Allah Taala. Sabtu, jam 5:09 petang 23 Februari 2013, isteri FY, Azila Ismail selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.20kg di SJMC. Kedua-dua ibu dan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat. Doakan agar anak ini bakal menjadi anak yang solehah dan berakhlak mulia. Amin...  

Kali ini juga si kecil disambut oleh Dato' Dr Siti Zaleha Zainal yang merupakan doktor pakar sakit puan yang tersohor dan berpengalaman di SJMC ini. Beliau jugalah yang menyambut kedatangan anak-anak FY yang lain. Kepada Dato' Dr Siti Zaliha, FY mengucapkan jutaan terima kasih atas bantuan dan khidmat nasihat selama hari ini dan semoga Dato' Dr Siti Zaleha terus berkerjaya dan dapat membantu lebih ramai lagi demi kebaikan semua.

Dato' Dr Siti Zaliha Zainal

Anak ini merupakan anak FY yang ke 6. Sehingga kini FY telah punya 5 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Sekali lagi FY memanjatkan ungkapan Alhamdulillah kerana limpah kurnia Allah Taala ini.

Mungkin ada yang mengatakan FY punya anak yang ramai tapi sebenarnya FY hanya menurut prinsip keislaman untuk meramaikan zuriat dan meramaikan umat Islam di muka bumi ini. Apa yang penting ialah dengan harapan dan doa semoga mereka menjadi anak yang soleh dan solehah yang bakal berjaya di dunia dan di akhirat. Semoga mereka menjadi anak-anak yang mendoakan kami berdua bilamana kami meninggakan dunia ini kelak.

Apapun anak-anak ini umpama hamparan kain putih yang mana kitalah yang bakal membentuk mereka samaada menjadi Islam, Nasrani, Yahudi mahupun Majusi. Kitalah yang diamanahkan untuk mendidik mereka ke jalan kebenaran, jalan yang lurus. 

Sekian sahaja catatan FY bagi menyambut kedatangan anak ke 6 FY ini.

Wassalam.
  
FY
 

Monday, October 1, 2012

Satu Warkah Seribu Makna


Satu Warkah Seribu Makna

Salam abang FY..

Saya anak arwah pakcik Yahya.. Saya baca dah pasal Kg Awal tu memang sayu..  Bila abang cerita terkenang pasal pakcik Yusup Jamal.. So saya ada satu cerita kenangan jugak nak share.. Sebelum bapak sakit.. Saya dan bapak terima surat dari pakcik, pakcik poskan surat beranak saya yang bapak tertinggal dalam laci Pejabat Keselamatan.. Ada bait-bait katanya yang buat saya dan bapak ketawa.. apa? "Rahsia!"

Pastu.. Sebelum bapak benar-benar tenat dia bagitahu saya kalau dia dah 'pergi' nanti dia minta saya jumpa pakcik Yusup.. sebab katanya nanti pakcik Yusup akan bagitau apa-apa yang saya tak tahu.. Malangnya esok hari saya dan bapak dapat berita dari Kg. Awal yang Pakcik Yusup dah meninggal. bapak masa tu diam dan terus diam. Kata bapak mereka sangat rapat. sampailah untuk beberapa tahun yang lepas.. Saya sakit dan ketika itu saya bermimpi bapak datang ... bersama pakcik Yusup??

Ye ketika itu saya menangis dan peluk bapak untuk lepaskan rindu.. Sampai saya suruh bapak tunggu saya, saya nak ambik baju ikut dia.. Tiba-tiba bila saya dapatkan mereka balik yang ada hanya Pakcik Yusup.. Dia seolah-olah berdiri di hadapan pintu untuk menahan saya..

Saya tanya dia… “Pakcik mana bapak saya? Tadi saya suruh dia tunggu saya sekejap je...” dan dalam kekaburan itu saya nampak dengan jelas raut wajah Pakcik Yusup dengan senyuman manisnya yang saya kenal, misainya.. Rambutnya hitam (Macam ketika mereka sedikit muda) dalam senyumnya seolah-olah dia berkata dan memberitahu saya yang bapak saya dah pergi dan mereka kan sudah meninggal dunia..  

Saya terjaga.. memang ada sisa air mata.. tengok jam pukul 4++ am.. hari Khamis malam Jumaat. Saya terus panjatkan syukur dan menghadiahkan Al-Fatihah untuk mereka. Kata adik saya Ustaz Syafiq.. jika diwaktu itu.. Mungkin benar saya berjumpa mereka.

Wallahualam.. Hanya Allah Yg Maha Mengetahui.

Ketika saya menaip nie saya masih terbayang arwah Pakcik Yusup tersenyum dengan sangat jelas. Al- Fatihah untuk mereka.

Saturday, September 29, 2012

SELAMAT TINGGAL KAMPUNG AWAL...



Di rumah usang inilah aku dibesarkan semenjak tahun 1978 hinggalah ke tahun 2001. Di rumah bernombor C 49, Kampung Awal, Universiti Malaya. Melihatkan keusangannya menyebabkan hatiku tersentuh. Betapa aku merindui tempat ini. Namun semuanya itu sudah berlalu. Pada tanggal 13 Februari 2006 aku ke mari dan apa yang aku lihat begitu menyayat hati.

Tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermain. Kami sekeluarga berpindah buat kali yang ketujuh dari Pantai dalam ke rumah ini pada bulan Mei tahun 1978. Pada masa itu aku berada dalam darjah dua, abangku dalam darjah tiga. Kami bersekolah di Sekolah Rendah Brickfields dan adikku pula belajar di sekolah MGS dalam darjah satu.  

Aku seakan tidak percaya yang satu hari nanti kampung yang pernah menjadi tempat tinggalku ini bakal menjadi kampung yang dilupakan, ditinggalkan pergi tanpa penghuni.

Helai gelak tawa kami sekeluarga di dalam rumah quarters dua bilik ini masih terngiang-ngiang di dalam benakku. Inilah syurga kami pada waktu itu. Kalau dapat dikembalikan masa ingin aku kembali ke saat itu di suatu masa yang lalu. Aku ingin semua ini kembali. Aku ingin kembali bersama seluruh ahli keluargaku. Kalau boleh aku ingin kembali bersama arwah bapaku mengecapi hari-hari yang ceria bersama. Namun apa dayaku....

Semuanya telah berlalu. Senja ini segalanya pudar, sepudar hati yang melihat semua ini di hadapan mata. Rumah yang dahulunya teguh telah dimamah usia. Pokok renek yang merimbun dan yang menjalar memenuhi setiap ruang memedihkan mata dan menyayat hati yang memandang. Sampah-sampah bertaburan di sana sini. Bapaku telah pergi takkan kembali. Kami telahpun punya bapa yang baru. Aku dan abangku telah lama hidup berkeluarga. Kami telah bertahun meninggalkan mukim ini.


Di halaman ini masih kelihatan kami adik beradik bermain, berlari jatuh bangun. Masih terbayang bayangan arwah bapaku menendang bola mengajarku teknik-teknik bermain bola.

Berlatarbelakangkan rumah inilah pelbagai drama kehidupan telah mengambil tempat yang suka mahupun yang duka.

Namun semua ini tiada lagi. Semenjak arwah bapaku meninggalkan kami sekeluarga kami terpaksa berpindah meninggalkan lembah ini. Yang tinggal hanyalah kenangan silam jauh di lubuk hati yang tak mungkin akan kami lupakan. Sejak dari itu rumah buruk ini terus berjasa untuk keluarga anggota keselamatan yang lain. 


Di hadapan rumah ini, mengenangkan aku pada arwah bapaku yang sedang sibuk membaiki jalanya yang sering dia gunakan bila pergi menangkap ikan. Di hadapan pintu itulah tempat dia menyanyi lagu-lagu Mercy’s, Dylloyd’s, Alleycats, Black Dog Bone dan Broery yang menusuk kalbu bertemankan irama gitar kapuknya menghiburkan kami. Alangkah aku merindui semua ini.

Manakah perginya jiran-jiran serta sahabat handai yang pernah membesar bersamaku dahulu. Mana perginya Pakcik Din Talib serta anak Shapary, mana perginya Pakcik Kassim serta anak beranaknya, Adnan, Kumi dan Zarina.

Kemana menghilang Pakcil Iman Saujana, Pakcik Sahak, Pakcik Peng Aziz serta anak-anaknya Kamarul Bahrain, Kamarul Azmi dan yang lainnya


Masihkah kamu semua ada dimuka bumi ini atau sebaliknya adakah kamu telah meninggalkan kami. Pakcik Ahmad Noordin, Pakcik Yahaya dan beberapa lagi yang seangkatan dengan bapaku ramai juga yang telah mengikut jejak langkah arwah bapaku kembali ke rahmatullah.

Kemanakah menghilang kawan-kawanku Adam, Daud, Arif, Azizi (Baran), Azli, Pak Itam, Dolmat serta yang lainnya. Andai anda semua dijodohkan dengan nukilan ini carilah aku. Mungkin kita boleh kembali menyambung sirat.

Beginilah lumrah kehidupan, tiada apa yang kekal. Yang tinggal hanyalah kenangan-kenangan yang mengusik jiwa, menyentuh kalbu.


Di bahagian belakang rumah inilah aku ditugaskan untuk membersihkan longkang setiap petang. Sekali sekala ular dan lipan memasuki kawasan ini mengganggu ketenteraman kami sekeluarga.


Anak-anak tangga ini menjadi saksi kehadiran kami di daerah ini selama itu. Di sinilah kami sering duduk menghirup udara petang sambil melihat kanak-kanak kampungku seronok bermain dan berlari, ada juga yang sekawan dua yang mundar mandir mengayuh basikal. Beberapa kali juga kereta terlajak di tangga ini kerana pada masa itu tiada penghalang yang menghalangi perjalanannya. Mujurlah sepanjang masa itu tiada yang nahas berlaku.


Inilah pandangan Kg Awal dari atas bukit rumahku. Suasananya nyaman dan harmoni suasana sebuah kampung di tengah ibukota. Namun pemandangan ini hanya tinggal dalam memori yang tak pernah padam.

Dewasa ini kampungku ini akan diambil alih atas alasan pembangunan. Semua penghuninya diarahkan berpindah ke rumah pangsa di Pantai Dalam. Sebuah kampung yang tidak berpenghuni tidak lengkap untuk dipanggil kampung. Rumah-rumah ini bakal dirobohkan dan digantikan dengan bangunan tinggi yang serba moden.  

Di sinilah aku dibesarkan, menghabiskan usia kanak-kanak hingga remaja serta didedahkan kepada dunia. Walau dimana aku berada, walau langit ku gapai sekalipun namun aku akan tetap mengenangmu. Aku anak jaga yang membesar di sebuah rumah kecil di Kampung Awal. Jasamu takkan aku lupakan dan imej-imej ini akan terus melekat utuh di dalam sanubariku hinggalah ke hari aku menghembuskan nafasku yang terakhir.

Terima kasih Kampung Awal dan selamat tinggal aku ucapkan.

FY

Tuesday, September 25, 2012


Tuesday, October 20, 2009

1989 - ITM

Aku masih lagi tinggal di bilik 4106 Asrama Jati. Gembira tak terkata apabila dapat pulang semula ke daerah ini dan bertemu dengan kengkawan lama.

Entah kenapa aku terasa amat sedih malam itu atas apa yang terjadi maka aku menghabiskan masa aku di dalam bilik yang kegelapan ini menangisi apa yang terjadi. Inilah aku. Aku yang gagah di siang hari, dikenali sebagai seorang yang happy-go-lucky kecundang jua di malamnya. Beginilah selalunya dalam setahun pasti ada sekali dua aku kecundang kerana menginsafi akan liku-liku sebuah kehidupan.

Malam itu keadaan agak berbeza kerana tiba-tiba Nor Azli bin Mohd Amir masuk ke dalam kamarku dan aku tidak dapat menyembunyikan mataku yang merah berair ini darinya. Menyedari keadaan ini dia segera mendekati aku dan kata-katanya banyak menolong aku malam itu. Sekarang tahulah aku yang dia adalah seorang yang memahami akan erti sebuah kehidupan. Di sinilah bermulanya persahabatan aku dengannya. Mulai dari saat itu kami dikenali sebagai "blood brother".

Nama panggilan " Lord " yang diberi oleh rakan-rakan seperjuanganku adalah kerana dia adalah anak salah seorang diplomat Malaysia. Pada masa yang sama ibuku membelikan aku sebuah motosikal Honda Cup dengan harga 850 ringgit kerana ibuku mendapat sedikit duit dari keluaran KWSPnya. Motosikal tersebut adalah sebuah motosikal lama tahun 1978. Tetapi yang menariknya ia berwarna keperakkan dengan mud guard depan berwarna ungu dan bernombor plat BAM 1070.

Aku mula dikenali olah kawan-kawanku kerana cara tungganganku yang berbeza juga brutal kalau dibandingkan dengan mat-mat motor yang lain. Mereka mengiktiraf aku sebagai salah seorang penunggang motosikal yang hebat.
Semenjak itu jugalah terjadinya bermacam peristiwa kemalangan yang tidak dapat aku lupakan di dalam hidup aku. Pertama kalinya motor itu di jatuhkan oleh Hanizan atau nama panggilannya Bulues. Selang beberapa hari kemudian aku pula terjatuh di dalam hujan ketika mengambil selekoh berdekatan dengan Kolej Cempaka.

Tergolek depan sect 2 dengan Azul.


www.faizalyusup.net

1988 - ITM

Pada bulan Julai 1988 aku diterima masuk ke Institut Teknologi Mara dalam kursus Diploma In Banking Studies. (BM12) Aku mendapat nombor ID pelajar yang cantik iaitu 88287747. No ID yang tak pernah aku lupakan sehingga sampai bila-bila. Sejurus menerima keputusan itu aku memotong rambut dengan potongan askar yang begitu pendek tanda kesukuran ke hadrat Allah dan sebagai azam untuk aku belajar dengan bersungguh-sungguh selepas ini.

Kekecewaan yang aku bawa kerana keputusan yang tidak memberangsangkan dari peperiksaan  SPM masih jelas terbayang. Aku tahu aku sesungguhnya keputusan yang aku terima itu tidak mengecewakan ibu bapaku  malah membanggakan mereka tetapi ia tetap mengecewakan aku. Aku sedar akan kebolehan aku tetapi malangnya konsentrasi aku terjejas dek keadaan yang terpaksa aku lalui satu ketika dahulu. Tapi tak mengapa kerana sekarang aku telahpun berada di sini. Dewan Sri Budiman ini menjadi saksi bahawasanya aku akan memulakan hidup baru yang lebih cemerlang dan melupakan kekecewaan masa lalu.

Semasa mendaftar aku duduk di sebelah Syed Ahmad Fuad seorang budak Pulau Pinang. Entah kenapa bila dia bertanyakan namaku aku katakan yang nama aku Man dan inilah yang menjadi punca dia mempromosikan aku dengan nama Man Greng. Nama Keringgiee telah ditinggal pergi dan sepanjang di ITM aku dikenali sebagai Greng disebabkan oleh Syed. Namun demikian Steng, Stone dan Bulues masih mengekalkan nama mereka sampai ke sini.

Mulai hari ini aku dikenali sebagai seorang siswa di pusat pengajian tinggi.
           
Pada mulanya aku ditempatkan di Kolej Perindu selama seminggu untuk orientasi. Disebabkan aku sudah biasa tinggal di asrama maka keadaan ini tidaklah menjadi satu masalah bagi aku. Malah orientasi yang dijalankan oleh para seniors juga tidaklah membebankan aku.
           
Kemudian aku dipindahkan ke Kolej Jati yang terletak di luar ITM. Kolej ini merupakan apartmen kediaman awam tetapi telah ditukar kepada sebuah Kolej apabila ia diambil alih oleh pihak ITM daripada PKNS. Maka kami berlapan di tempatkan di bilik bernombor 4106 blok D. Tingkat bawah menghadap blok C yang juga blok lelaki. Aku tinggal sebilik dengan Nor Azlan bin Zainal seorang pelajar kursus Accountancy. Kamaruzaman bersama Amran dan yang lainnya Leslie, Faiz, Rambo dan Alias tinggal di hall bahagian hadapan apartmen tersebut.    

Pada masa in aku mempunyai kumpulanku yang tersendiri yang terdiri dari Azman atau Manjoe, Azli atau Lord, Zainol atau Hammerhead dan Halidi atau Jojet. Aku pula Greng. Kami selalu melepak bersama-sama bercerita tentang perihal latarbelakang kami sebelum kami menjejakkan kaki di sini.

Di dalam kelas kumpulan kamilah yang paling nakal yang suka menyampuk apa yang pensyarah katakan. Tanpa aku sedari mungkin sampukan-sampukan itulah yang menunjukkan bahawa aku menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.  Semester berlalu dengan baik bagi aku tanpa sebarang kepincangan. Lagipun azamku masih lagi kuat untuk menebus kekecewaan masa lalu. Dalam matapelajaran Inggeris kami terpaksa berpisah kerana penguasaan yang berbeza dalam bahasa tersebut. Aku sekelas dengan antaranya Jojet, Shidi dan Sani. Aku rasa aku adalah antara yang paling suka menyanyi, dan kelas di "basement Business School" ini menjadi tempat aku melepaskan gian. 

Hari yang ditunggupun tiba, keputusan peperiksaan semester pertama sudah berada di dalam tanganku. Aku mendapat keputusan yang cemerlang dan apabila aku katakan pada rakan-rakanku tak seorangpun di antara mereka yang lebih tinggi dari aku. Akhirnya aku mendapat tahu yang ianya adalah yang terbaik yang dicapai dalam kursus ini. Sungguh tidak aku sangka. Ia membuktikan kata ibuku selama ini yang sekiranya aku melakukan sesuatu itu bersungguh-sungguh maka aku boleh jadi seorang yang cemerlang.


www.faizalyusup.net